SEJARAH & OBJEKTIF PENUBUHAN:

 

Setelah lebih daripada 15 tahun Kadet Remaj Sekolah (KRS) di tubuhkan, terdapat pelbagai usaha yang telah dilakukan untuk mewujudkan organisasi di mana bekas-bekas ahlinya yang berpengalaman, dapat menyalurkan sumbangan berbentuk tenaga mahu pun idea. Walau bagaimana pun, semua badan-badan ini hanya tertumpu kepada sekolah masing-masing. Koordinasi aktiviti serta perlaksanaan di Peringkat Nasional dan Antarabangsa belum di wujudkan.

Oleh yang demikian, kami bekas ahli KRS S.M.K.T.T.D.I telah mengambil inisiatif untuk menubuhkan Persatuan Alumni Kadet Remaja Sekolah Malaysia di peringkat Kebangsaan, Nasional dan Antarabangsa.     Persatuan alumni ini  akan lebih dikenali dengan nama “KARESMA” – Persatuan Alumni Kadet Remaja Sekolah Malaysia” atau dalam bahasa Inggeris “Malaysian Youth School Cadet Corp Alumni”.

Dari Kanan : Mejar KRS Anuar, Mejar KRS Ustaz Ahmad Farazilla,
Allahyarham Mejar KRS Muhammad Thani

TUJUAN & OBJEKTIF PENUBUHAN KARESMA.
 
Antara tujuan dan objektif penubuhan KARESMA ( yang akan di maktubkan ke dalam Perlembagaan Persatuan ) adalah seperti berikut :-
  • Memupuk ikatan sillaturrahim termasuk sikap mesra, ramah tamah, kunjung mengunjung,  tolong menolong dan bantu-membantu antara ahli termasuk ahli keluarga mereka;
  • Menghayati dan meneruskan tujuan asal penubuhan KRS agar kesinambungannya berkekalan dan dipraktikkan selaras dengan keperluan dan kehendak Perlembagaan Malaysia.
  • Mengembangkan kefahaman, kesedaran dan kepekaan di kalangan ahli terhadap isu-isu semasa di peringkat negeri, Negara dan Antarabangsa serta berkeupayaan untuk bertindak sewajarnya dalam menyumbang kearah kesejahteraan global.
  • Menggalakkan interaksi, kerjasama, pertukaran fikiran dan peningkatan ilmu pengetahuan melalui perjumpaan, perbincangan, ceramah atau lain-lain cara dikalangan ahli KARESMA khususnya serta dikalangan individu lain amnya;
  • Mengatur dan/atau membantu usaha‐usaha kearah meningkatkan prestasi ahli-ahli dan rakyat Malaysia dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi dan perniagaan di peringkat Negeri, Negara dan Antarabangsa;
  • Memelihara serta mengembangkan KRS sebagai satu badan beruniform yang ternama di Malaysia selaras dan sesuai dengan tujuan asal penubuhannya;
  • Membantu, membentuk dan menyokong usaha Kementerian Pendidikan Malaysia ( KPM ) kearah kecermerlangan ahli KRS dalam bidang pelajaran, ekonomi, sukan dan kegiatan luar darjah, dalam melahirkan ahli lepasan sekolah yang berkepimpinan, berpendidikan dan berakhlak mulia menurut lunas‐lunas Islam;
  • Menjalinkan hubungan baik dan kerjasama dengan mana-mana badan, pertubuhan dan persatuan lain termasuk persatuan murid‐murid tua lain untuk manfaat bersama;  dan
  • Menjalankan kegiatan serta mengambil langkah yang dibenarkan oleh undang‐undang demi kebaikan dan kepentingan KARESMA dan ahli.

SOKONGAN DARI SEMUA PIHAK.
 
Kami ahli jawatankuasa KARESMA S.M.K.T.T.D.I  dengan rasa rendah hati kami amat mengalu-alukan sokongan dan penglibatan daripada semua bekas ahli Kadet Remaja Sekolah ( KRS ) di seluruh Malaysia dalam usaha untuk memartabatkan KARESMA di persada tanahair seterusnya ke antarabangsa. Dengan potensi jumlah keahlian yang besar, penubuhan ini dijangka dapat memberi kesan-kesan positif terhadap sosial, ekonomi dan juga diharap dapat menjadi satu ‘suara’ positif kepada pembentukan dasar-dasar dan polisi kerajaan.

Antara sokongan yang diperlukan pada waktu ini adalah :-
  • Mendaftarkan diri sebagai ahli Alumni.
  • Membantu dalam membuat kesedaran tentang penubuhan alumni.
  • Membantu dalam mendapatkan ahli-ahli alumni yang lain.
  • Memberi sumbangan idea dan tenaga dalam menjalankan aktivti-aktiviti persatuan di masa hadapan.

Di harap dengan sokongan saudara-saudari sekalian, agenda kami dalam menubuhkan Alumni KRS Malaysia ( KARESMA ) ini akan menjadi kenyataan. Sebarang sokongan dan cadangan yang diberi kami dahulukan dengan ucapan terima kasih.


Hak Cipta Terpelihara Persatuan KaReSma @2014. Rekaan dan konsep Laman Web: www.eStructureMedia.com.my